Cili boh untuk asam pedas (Johor style)
Bahan-bahan
2 genggam cili kering atau semangkuk penuh, digunting pendek2
4 labu bawang besar
8 biji bawang putih
1 saiz ibu jari halia
1 saiz ibu jari kunyit hidup
1/2 saiz ibu jari belacan yang dibakar sedikit hingga agak kering, bukan sampai hangus! (lebih sedikit kalau suka, tetapi jangan melebih saiz 1 ibu jari)
sedikit air
Cara membuat
1. Rendam cili kering dalam air bersuhu bilik sehingga lembut (15-20 minit sahaja) kalau rendam terlalu lama, cili akan menjadi lembik. Setelah lembut ramas2 sedikit untuk mengeluarkan biji cili, bilas2 dan toskan. Merendam di dalam air panas juga tidak disyorkan sebab mudah basi dan kurang tahan disimpan lama.
2. Bawang besar, halia dan kunyit dihiris kasar dan dimasukkan ke dalam blender bersama cili kering yang telah direndam dan ditoskan, juga bersama bawang putih dan belacan yang telah dibakar. Tuang air sedikit demi sedikit untuk memudahkan bahan2 dikisar. Jangan biar cili boh terlalu cair. Anda juga boleh menambah sedikir minyak masak (saya syorkan minyak kelapa sawit) selain dari air. Jangan gunakan minyak yang akan mengubah rasa cili boh seperti minyak zaitun atau minyak kacang.
3. Setelah semua ramuan lumat, bolehlah disimpan dalam bekas dan simpan di dalam freezer anda supaya tahan lama. Cili boh saya ini boleh tahan 2-3bulan di dalam freezer dan masih elok untuk digunakan dalam semua masakan saya. Inilah ramuan cili boh yang saya gunakan untuk masak asam pedas kegemaran saya dan Ayah saya yang tercinta.
Selepas ini bolehlah anda memasak asam pedas style Johor dan letak daun kesum serta lada hitam kasar untuk menambah aroma dan rasa. Selamat mencuba.
No comments:
Post a Comment